Cikgu Ain

nurulaindnyal@gmail.com NurulAinDnyal@facebook.com

Biodata Saya

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera. Nama diberi Nurul Ain binti Dnyal atau boleh panggil saya Cikgu Ain. Saya dilahirkan pada 2 Mac 1986 di Batu Pahat, Johor. Walau bagaimanapun saya menetap hampir 25 tahun di Alor Gajah, Melaka Bandar Raya Bersejarah. Ayah saya seorang anggota polis manakala ibu saya seorang suri rumah. Saya anak pertama daripada lima orang adik-beradik. Saya bersekolah di SK Alor Gajah (1) dari tahun 1993 hingga 1998. Setelah mendapat keputusan UPSR, saya ditawarkan belajar di SMK(A) Sharifah Rodziah, Telok Mas, Melaka selama 2 bulan. Seterusnya, ayah saya menyarankan saya berpindah sekolah setelah mendapat tawaran belajar di MRSM PDRM Kulim, Kedah dalam aliran sains. Di sini, saya banyak belajar berdikari kerana terpaksa berada jauh daripada keluarga di Melaka pada usia yang muda. Setelah mendapat keputusan PMR pada tahun 2001, saya berpindah ke MRSM Muar, Johor kerana lokasinya lebih dekat berbanding di Kulim. Di sini pula, saya perlu bersaing dan berusaha bersungguh-sungguh kerana kebanyakan pelajarnya datang daripada sekolah-sekolah elit di Johor seperti STF dan SIGS. Pada tahun 2004, setelah mendapat keputusan SPM, saya meneruskan pengajian di Kolej Matrikulasi Melaka dalam aliran Sains Hayat. Semasa di sini, saya sedar kecenderungan saya dari segi sosial dan terus berazam untuk menjadi seorang pendidik pada satu hari nanti. 

Pada tahun 2005 setelah tamat matrikulasi, saya menerima tawaran menyambung pengajian dalam bidang pendidikan daripada dua institusi berbeza iaitu IPG Kota Bharu, Kelantan dan UPSI Tanjung Malim, Perak. Setelah berfikir panjang, saya menerima tawaran belajar di UPSI kerana jangka masa pengajian lebih singkat berbanding di IPG. Sepanjang 4 tahun di UPSI, pelbagai ilmu dan pengalaman saya pelajari sehingga saya berjaya menerima segulung Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Kimia) pada tahun 2009. Demi untuk menambahkan ilmu dan kemahiran dalam bidang pendidikan, saya bertekad untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Pendidikan Kimia juga di UPSI dan sekarang berada di semester dua.


Saya telah mula bekerja dalam bidang pendidikan sebagai guru sementara di SMK Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka kira-kira 3 bulan. Majoriti pelajarnya berbangsa cina. Pada bulan Oktober 2009, saya mendapat surat tawaran untuk menjadi guru tetap di SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka sehingga pada tahun 2012. Banyak pengalaman yang saya dapat sepanjang berkhidmat di sini terutama dalam mengawal pelajar asrama kerana saya menjadi warden asrama ketika di sini. Pada bulan Jun 2012, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Sg. Siput (U), Perak  untuk menetap bersama suami sehingga kini. Paling mengejutkan, majoriti pelajarnya berbangsa India. Ini adalah satu cabaran baru sebagai seorang guru yang perlu ditempuhi. Tidak mengapa, saya akan cuba sebaik-baiknya. Di sini, saya masih tidak ditawarkan mengajar subjek kimia. Walau bagaimanapun, saya lebih mahir mengajar dalam subjek Sains menengah rendah. Saya suka mengajar dan bekerja dengan manusia. Saya seorang guru dan saya mengajar apa yang saya telah belajar. Saya cuba untuk memotivasikan diri pelajar di samping memotivasikan diri saya sendiri. Saya menghormati profesion lain di dunia ini tetapi saya bangga menjadi seorang guru. 

0 comments:

Post a Comment